Saturday, October 17, 2009

Hari 01 Lawatan: Kuala Lumpur - Doha - Madrid

Pagi tadi (Jumaat) kami berlepas dari KLIA pukul 3.35 pagi waktu Malaysia.  Penerbangan mengambil masa lebih dari 7 jam untuk sampai di Doha, Qatar pada pukul 5.45 pagi waktu Qatar.  Hari dah cerah waktu tu.

Oleh kerana penerbangan ke Madrid hanya akan berlepas pukul 1.05 petang, agen kami telah mengaturkan sebuah van membawa kami melawat bandar Doha.  Juga disediakan seorang wanita China dari Shanghai untuk memberi penerangan semasa lawatan.  Kami dibawa melawat kawasan unta, pasar sayur dan buah, kompleks Sukan Asia dan pusat kuda sebelum melawat tengah bandar Doha yang pesat dibangunkan dengan bangunan-bangunan tinggi dengan reka-reka bentuk yang menarik.

Sebelum berlepas dari Doha Qatar Airways telah memberi kami kupon makan tengahari di lapangan terbang.  Makan biasa saja - nasi putih, pilihan satu lauk (gulai ayam, daging atau kambing), sekeping roti, sekeping kuih, pilihan minuman (air sejuk, pepsi atau teh panas).  Bolehlah untuk kenyang perut.

Kami berlepas dari Doha pukul 1.05 petang menuju Madrid.  AlhamdulilLah kami telah sampai di Madrid dengan selamatnya pada pukul 7.20 malam hari Jumaat 16-Okt-09 waktu Madrid (pukul 1.20 pagi hari Sabtu di Malaysia).  Tiada masalah kastam dan bagasi pun sampai dengan elok.  Cuaca di luar rasa sejuk juga.  Ada bas menunggu kami untuk membawa kami ke Hotel Gran Atlanta.  Hotel ni saya rasa cuma tiga bintang saja.

Sekian dulu. Wassalam.

No comments:

Post a Comment