Monday, March 23, 2009

Tempat Membuang Sampah Yang Strategik

Dalam The Star (Metro Central) Khamis 19-Mar-2009 ada satu rencana bertajuk "Residents want dump cleared".  Rencana ini menceritakan bagaimana perabut terpakai dan lain-lain sampah berlonggok di satu simpang jalan di satu kawasan perumahan di Petaling Jaya Utara. Keadaan ini mencemarkan pandangan (eyesore) dan bau busuknya juga tidak menyenangkan. Persatuan penduduk di situ mengatakan bahawa masaalah ini bukanlah satu perkara yang baru dan aduan-aduan telah banyak dibuat kepada pihak-pihak yang berkuasa tetapi tindakan yang telah diambil tidak begitu berkesan.  Cadangan juga dibuat supaya papan amaran jangan membuang sampah didirikan di simpang tersebut.

Pihak yang  berkuasa mestilah mengkaji masaalah ini dengan sedalam-dalamnya dan membuat pendekatan yang berkesan.  Perkhidmatan awam perlu mengambil pendekatan perniagaan/pemasaran dalam melaksanakan perkhidmatan mereka supaya lebih berkesan.  Perkhidmatan pengurusan sampah boleh diuruskan dengan pendekatan pemasaran kerana ianya membabitkan ramai "pelanggan/pengguna".  Pihak yang berkuasa perlu mengambil kira tingkah-laku atau karenah pengguna (consumer behaviour) dalam melaksanakan pengurusan sampah ini.  

Melihat kepada kawasan-kawasan lain dimana papan-papan tanda amaran jangan buang sampah telah didirikan, saya dapati amaran-amaran tersebut tidak begitu berkesan, kerana orang masih terus membuang sampah di situ.  Ini mungkin disebabkan mereka telah begitu selesa membuang sampah di situ.  Mungkin juga mereka tidak tahu dimana lagi mereka boleh membuang sampah mereka.  Kalau pun mereka tahu di mana, mungkin untuk pergi ke tempat tersebut amat menyusahkan mereka.

Berbalik kepada rencana The Star yang tersebut di atas, dikatakan bahawa simpang jalan tempat sampah dibuang itu sudah lama digunakan oleh orang ramai untuk tujuan tersebut. Tentulah banyak sebab-sebab mengapa orang ramai suka membuang sampah di situ.  Ini mengingatkan saya kepada  tiga faktor terpenting untuk kejayaan dalam bidang pemasaran, ia-itu tempat, tempat, tempat (location, location, location). Kita katakan bahawa sekiranya kita dapat tempat yang sesuai, perniagaan kita akan menjadi satu lombong emas (gold mine).  

Oleh yang demikian saya mencadangkan supaya pihak-pihak yang berkuasa mengambil pendekatan pemasaran ini: ia-itu dengan membangunkan pusat pengutipan sampah yang sempurna di simpang jalan tersebut.  Kerana tempat ini telah pun terkenal sebagai tempat membuang sampah, tentulah pembangunan ini akan memudahkan lebih ramai lagi orang membuang sampah di situ.  

Dengan adanya tempat pembuangan sampah yang strategik ini besar kemungkinannya kos pengurusan sampah pihak yang berkuasa akan dapat dikawal atau dikurangkan. Sekiranya semua penduduk sesuatu kawasan perumahan dapat dipengaruhi untuk datang membawa sampah-sampah mereka ke tempat pembuangan sampah yang strategik ini, maka perkidmatan pengutipan sampah dari rumah ke rumah tidak diperlukan lagi. 

Dan dengan pengurusan sampah yang lebih sempurna tentulah penduduk di kawasan itu akan mengalami mutu kehidupan (quality of life) yang lebih sempurna lagi.

WalLahu 'alam.

 

Thursday, March 12, 2009

Penguatkuasaan Yang Berkesan

Ada orang yang mengatakan bahawa undang-undang di Malaysia ni dah cukup dah, dah bertaraf dunia pun.  Yang kurang ialah penguatkuasaan undang-undang tersebut.  Perbandingan yang selalu dibuat ialah dengan Singapura, dimana penguatkuasaan undang-undang mereka dikatakan begitu ketat dan kuat sekali.  Kita patutlah mencontohi mereka dalam bidang ini.

Untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang di Malaysia, langkah-langkah berikut perlulah dipertimbangkan:

  1. Pastikan denda yang dikenakan adalah betul-betul mendenda orang yang membuat kesalahan.  Dengan ini orang akan takut membuat kesalahan. 
  2. Pastikan orang yang membuat kesalahan tersebut tidak membuat sebarang rayuan.  Sekiranya ia cuba membuat rayuan, dendanya hendaklah ditambah lagi.
  3. Pastikan juga pihak penguatkuasa tidak melayan sebarang rayuan untuk pengurangan denda.  Sekiranya pihak penguatkuasa melayan sebarang rayuan, pihak penguatkuasa tersebut mestilah dikira sebagai telah membuat kesalahan dan perlu dihukum pula.
  4. Pastikan juga pegawai-pegawai penguatkuasa adalah orang yang betul-betul layak, terlatih dan berdisiplin menjalankan tugas.  Mereka perlulah diberikan sara hidup yang memuaskan supaya mereka tidak perlu menerima rasuah dari orang yang membuat kesalahan.  
  5. Pastikan juga semua sistem dan peralatan penguatkuasaan adalah yang terbaik supaya apa-apa tindakan yang diambil oleh pegawai-pegawai penguatkuasa nanti tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

WalLahu'alam.

Tuesday, March 10, 2009

Membuang Sampah di Kuala Lumpur

Masaalah sampah yang kelihatan di mana-mana sahaja di Kuala Lumpur telah banyak diceritakan orang.  The Star hari ini (10-Mac-09) sekali lagi mengingatkan kita perihal ini dalam rencananya "KL City bearing the brunt of its residents’ lackadaisical attitude".   

Kebanyakan recana-rencana dan cerita-cerita ini hanya menyatakan keluhan-keluhan akan keadaan tidak manis ini.  Tidak banyak yang memberikan cadangan bagaimana masaalah ini mungkin dapat kita atasi bersama.  Kalau ada cadangan pun hanya setakat menekankan perlunya wargakota mengubah sikap supaya tidak lagi membuang sampah merata-rata tempat. 

Saya rasa cara dan sistem pembuangan dan pengumpulan sampah di bandaraya-bandaraya perlu dipertingkatkan untuk membantu mengatasi atau pun mengurangkan masaalah pembuangan sampah di merata-rata tempat ini.  

  1. Sediakan lebih banyak tempat membuang sampah.  Kalau tempat membuang sampah tidak ada tentulah orang akan membuang sampah dimana saja mereka merasa sesuai.  Kalau tempat membuang sampah tidak mencukupi, tentulah sampah akan melempah-lempah dan lama kelamaan orang akan membuang sampah di mana-mana saja. 
  2. Tempat-tempat membuang sampah ini mestilah mesra rakyat dan mudah dijumpai.   Tak ada gunanya menyediakan tempat membuang sampah yang canggih dan mahal, kalau wargakota tak tahu di mana letaknya.  Begitu juga kalau tempat itu terpencil atau pun jauh berbatu-batu; tidak ramai orang yang sanggup kesitu untuk membuang sampah.  
  3. Tempah membuang sampah ini perlulah sentiasa bersih.  Supaya orang merasa selesa untuk membuang sampah di situ. Jangan biarkan sampah di tempat membuang sampah tinggal di situ terlalu lama kerana tempat itu akan menjadi busuk sehingga orang pun meluat hendak membuang sampah di situ.  Sampah di dalam tempat membuang sampah perlulah selalu dan segera dialihkan ke tempat pelupusan sampah.  
  4. Badan-badan yang dipertanggungjawabkan memungut sampah perlulah mengambil semua jenis sampah.  Sekarang ini saya memerhatikan bahawa di kawasan-kawasan perumahan, badan-badan ini cuma mengambil sampah-sampai tertentu sahaja.  Mereka tidak ambil ranting-ranting dan daun-daun pokok yang telah dipotong, juga rumput yang dipotong pun tak diambil, perabot rosak pun tak diambil.  Kemana pulalah kami nak buang benda-benda ni??? 

Sekianlah cadangan saya.  Semoga ada faedahnya kepada semua pihak. WalLahu'Alam.

Saturday, March 7, 2009

Durian D Bukit Gantang

Durian akan runtuh
Ada yang masak, ada yang mentah
Hanya yang arif dapat membezakan

Durian akan runtuh
Ada yang lemak, ada yang pahit
Kalau dah beli, makanlah juga

Durian akan runtuh
Durian penuh duri
Wahai mentimun, pandai-pandailah jaga diri