Monday, March 23, 2009

Tempat Membuang Sampah Yang Strategik

Dalam The Star (Metro Central) Khamis 19-Mar-2009 ada satu rencana bertajuk "Residents want dump cleared".  Rencana ini menceritakan bagaimana perabut terpakai dan lain-lain sampah berlonggok di satu simpang jalan di satu kawasan perumahan di Petaling Jaya Utara. Keadaan ini mencemarkan pandangan (eyesore) dan bau busuknya juga tidak menyenangkan. Persatuan penduduk di situ mengatakan bahawa masaalah ini bukanlah satu perkara yang baru dan aduan-aduan telah banyak dibuat kepada pihak-pihak yang berkuasa tetapi tindakan yang telah diambil tidak begitu berkesan.  Cadangan juga dibuat supaya papan amaran jangan membuang sampah didirikan di simpang tersebut.

Pihak yang  berkuasa mestilah mengkaji masaalah ini dengan sedalam-dalamnya dan membuat pendekatan yang berkesan.  Perkhidmatan awam perlu mengambil pendekatan perniagaan/pemasaran dalam melaksanakan perkhidmatan mereka supaya lebih berkesan.  Perkhidmatan pengurusan sampah boleh diuruskan dengan pendekatan pemasaran kerana ianya membabitkan ramai "pelanggan/pengguna".  Pihak yang berkuasa perlu mengambil kira tingkah-laku atau karenah pengguna (consumer behaviour) dalam melaksanakan pengurusan sampah ini.  

Melihat kepada kawasan-kawasan lain dimana papan-papan tanda amaran jangan buang sampah telah didirikan, saya dapati amaran-amaran tersebut tidak begitu berkesan, kerana orang masih terus membuang sampah di situ.  Ini mungkin disebabkan mereka telah begitu selesa membuang sampah di situ.  Mungkin juga mereka tidak tahu dimana lagi mereka boleh membuang sampah mereka.  Kalau pun mereka tahu di mana, mungkin untuk pergi ke tempat tersebut amat menyusahkan mereka.

Berbalik kepada rencana The Star yang tersebut di atas, dikatakan bahawa simpang jalan tempat sampah dibuang itu sudah lama digunakan oleh orang ramai untuk tujuan tersebut. Tentulah banyak sebab-sebab mengapa orang ramai suka membuang sampah di situ.  Ini mengingatkan saya kepada  tiga faktor terpenting untuk kejayaan dalam bidang pemasaran, ia-itu tempat, tempat, tempat (location, location, location). Kita katakan bahawa sekiranya kita dapat tempat yang sesuai, perniagaan kita akan menjadi satu lombong emas (gold mine).  

Oleh yang demikian saya mencadangkan supaya pihak-pihak yang berkuasa mengambil pendekatan pemasaran ini: ia-itu dengan membangunkan pusat pengutipan sampah yang sempurna di simpang jalan tersebut.  Kerana tempat ini telah pun terkenal sebagai tempat membuang sampah, tentulah pembangunan ini akan memudahkan lebih ramai lagi orang membuang sampah di situ.  

Dengan adanya tempat pembuangan sampah yang strategik ini besar kemungkinannya kos pengurusan sampah pihak yang berkuasa akan dapat dikawal atau dikurangkan. Sekiranya semua penduduk sesuatu kawasan perumahan dapat dipengaruhi untuk datang membawa sampah-sampah mereka ke tempat pembuangan sampah yang strategik ini, maka perkidmatan pengutipan sampah dari rumah ke rumah tidak diperlukan lagi. 

Dan dengan pengurusan sampah yang lebih sempurna tentulah penduduk di kawasan itu akan mengalami mutu kehidupan (quality of life) yang lebih sempurna lagi.

WalLahu 'alam.

 

No comments:

Post a Comment