Memandangkan suasana dalam negeri kita ketika ini, saya rasa cerita berikut amat sesuai. Cerita ini saya baca di laman Inspirational Words of Wisdom. Asalnya dalam bahasa Inggeris. Maaflah sekiranya terjemahan saya tidak tepat.
Pada suatu masa dahulu dua beradik, yang duduk berjiran di ladang masing-masing, bergaduh. Itu adalah pergaduhan besar yang pertama selepas 40 tahun berladang sebelah menyebelah, berkongsi jentera-jentera, bertukar-tukar pekerja dan barangan bila diperlukan tanpa sebarang konflik. Kemudian persefahaman dan kerjasama selama itu runtuh sedikit demi sedikit. Ia bermula dengan sedikit salah faham, kemudian membesar kepada perselisihan dan akhirnya meletup dengan kata-kata kasar diikuti dengan tidak bertegur sapa sudah berminggu-minggu.
Suatu pagi terdengar ketukan pintu rumah si abang. Dia membuka pintu dan menjumpai seorang lelaki membawa alat-alat pertukangan kayu. "Saya mencari kerja sementara" katanya. "Mungkin tuan ada kerja-kerja kecil di sana sini yang mungkin saya boleh lakukan? Bolehkan tuan bantu?" "Ya," kata si abang ini. "Saya ada kerja untuk awak."
"Lihat ladang di sebelah parit itu. Itu jiran saya; sebenarnya, itu ladang adik saya. Minggu lepas ada lembah di antara kami dan dia telah menggunakan jentolaknya mengorek lembah yang cantik itu dan sekarang ada parit yang luas antara kami. Dia mahu menyakitkan hati saya, tetapi saya akan menyakitkan hatinya lebih lagi."
"Awak lihat balak-balak dekat setor itu? Saya mahu awak buatkan pagar untuk saya -- pagar 8 kaki tingginya -- saya tidak mahu melihat ladangnya atau mukanya lagi."
Tukang kayu itu berkata, "Saya rasa saya faham keadaan ini. Tunjukkan saya paku-paku dan pengorek lubang tuan dan saya akan dapat membuat kerja yang akan memuaskan hati tuan."
Si abang terpaksa pergi ke bandar. Selepas menolong si tukang kayu menyediakan barang-barang keperluannya, si abang pun pergi. Si tukang kayu bekerja keras seharian suntuk mengukur, menggergaji, memaku. Apabila si abang pulang hampir senja, si tukang kayu baru selesai kerjanya.
Si abang terperanjat besar; matanya terbeliak, mulutnya ternganga. Tidak ada pagar tinggi. Yang ada ialah satu jambatan -- jambatan yang menghubungkan sebelah sini parit ke sebelah sana parit! Satu hasil pertukangan kayu yang cantik, siap dengan sulusur tempat berpegang di dua belah jambatan -- dan jirannya, ia-itu adiknya, datang menghampiri mereka dengan tangan terbuka luas. "Abang sungguh hebat! Membina jambatan ini selepas semua yang telah saya kata dan lakukan." Dua beradik berhadapan di seberang jambatan dan mereka bertemu di tengah jambatan berpegangan tangan.
Mereka menoleh kepada si tukang kayu yang sedang memikul peralatan pertukangannya. "Tunggu! Duduklah di sini beberapa hari lagi. Saya ada banyak projek untuk awak," kata si abang. "Terima kasih," kata si tukang kayu, "tetapi saya ada banyak lagi jambatan untuk di bina."
Fikirkanlah: Anda ada sebarang jambatan yang perlu di bina?